Jumat, 27 Juni 2014

Lirik Lagu Ramadhan Maher Zain ( Versi Melayu )

Ada banyak juga lagu sempena menyambut bulan penuh barakah ini. Antaranya yang popular pastinya Harapan Ramadhan - Manbai dan Raihan , juga lagu Raihan -  Puasa Dulu Baru Raya . Selain lagu Hijjaz dan Tompi.


 oleh : narusehikari

Lirik Lagu Maher Zain - Ramadhan

Ku menantimu
Saban waktu
Bangkit jiwaku

Kau suluh hatiku
Dengan sinar
Kudus kasihmu

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Rahmat melimpah
Damainya ku rasakan

Ramadan bulan al-Quran
Mendidik jiwaku
Menyuburkan iman

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Sememangnya kau ku nantikan
Hadirmu hidupkan suram di jiwaku
Dan ku berjanji
Akan ku teruskan
Semangatmu itu
Sepanjang hidupku
Oh Ramadan

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan

Ku mohon usah pergi





Jika mahu yang versi Inggeris :


P/S: Cik Bulan berjaya menarik saya 
untuk meminati lagu ni juga.


Minggu, 22 Juni 2014

Salah ke minat artis / orang dikenali ni ?


Tak semua orang suka apa yang kita suka. Itu fitrah manusia. Tapi kita kadang-kadang over dan memaksa untuk orang layan apa yang kita gemarkan. Itu silap. Kita kena sedar, hakikat yang rasa manusia itu berbeza.

[ Baca sampai habis pro-kontranya ]

"Buang duit, buang masa jelah kau ni "
"Kau kenal dia, tapi dia kenal kau ke ?"

Ini bukan soal kita minat orang tu, kita nak balasan. Tidak. Peminat setia adalah mereka yang menyokong tanpa memikir soal duit atau masa apatah lagi nama. Baginya, selagi manusia yang diminatinya itu memberinya rasa bahagia , itu dah cukup, terasa selebriti itu menemani dalam hati sentiasa.

Malahan kalau selebriti / artis yang kita suka cakap , 'Awesome, thanks you! " ,"apa khabar ?" , "hai ", "ok" , atau RT tweet kita pun , kita dah naik syok tak ingat mengalahkan perasaan orang yang dapat score SPM straight . Itu hakikat. Ibarat rasa suka dengan crush kita, orang tu hanya senyum pun , kita dah rasa seperti di syurga. Ya, walaupun kita tak tahu syurga tu bagaimana rupanya yang sebenar.

Bukan tidak boleh minat seseorang. Manusia dicipta fitrahnya untuk suka . Allah izin, jadi memang tak salah. Apa yang penting bersederhana, tidak menyusahkan dan tidak pula disusahkan. Bagi saya, untuk setakat ini, jika ia memberi rasa gembira, rasa itu dilayan saja. Namun untuk berlarutan, hati sudah dewasa. Kita kena sedar yang kita minat tu manusia biasa juga.

Minatlah, tak apa , asalkan dalam batasan -  dalam masa sama turut mendoakan dunia akhirat. Tetaplah ada pada saat jatuhnya dia.

Belajar lah menyayangi- dengan seadanya. Jangan terlalu kagum - kerana kita semua adalah manusia yang ada juga kurang lemahnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

___________

Saya menyenangi dan menyayangi artis ini, sejak tahun 1999, masa dia sekolah lagi :
Siti Nordiana Alias. semoga dipermudahkan awak dunia akhirat.



Sabtu, 21 Juni 2014

Keputusan Penuh Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 2014


Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa 2014 yang bermula dari 16 hingga 21 Jun 2014 telah pun melabuhkan tirainya . Seramai 38 orang peserta (23 orang qari dan 15 qariah) telah mengambil bahagian. Manakala Hafazan pula disertai seramai 30 orang peserta.

Alhamdulillah . Tahniah untuk semua wakil Malaysia yang memenangi semua kategori. 


Keputusan penuh Hafazan Peringkat Antarabangsa 2014
Kategori Hafiz 30 Juzuk
  1. Mohd Ersyad bin Abdullah – 95.75% (Malaysia)
  2. Abdullah Mohammed Al Khairy – 94% ( Arab Saudi)
  3. Abdullah Hamad Salim Hamad Abu Sheraidah – 92% (Qatar)
Kategori Hafizah 30 Juzuk
  1. Nurhafizah bt Mohd Shafie – 95% (Malaysia)
  2. Soumaya Cheikh Ali – 85.75% (Tunisia)
  3. Ndombor Sene – 78.50% (Senegal)
    Keputusan penuh Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2014
    Kategori Qari
    1. Ahmad Tarmizi b. Haji Ali – 95.30% (Malaysia)
    2. Muhamed Bilir – 89.21% (Turkey)
    3. Ihsan Nuzula Zamri – 88.72% (Indonesia)
    Kategori Qariah
    1. Hanimzah bt. Jalaluddin – 90.67% (Malaysia)
    2. Rahimah Pandiodangan – 88.75% (Filipina)
    3. Siti Huzaimah Vadey Haji Rosli – 85.92% (Brunei)



    Sehingga bertemu lagi dengan majlis penuh barakah ini di lain kali, insyaAllah :)




    Checklist Persiapan Menjelang Ramadhan

    Kena siap cecantik dan segak-segak nak jumpa kekasih tersayang ni. Ramadhan namanya. Harap-harap pertemuan ini kita dapat manfaatkan dan tak sia-sia. Sebelum jumpa tu mari kita buat checklist dulu sebelum jumpa dia. Moh ler kita. Artikel seumpamanya sebelum ini [ menghadapi ramadhan ].



    • Doa 
    • Berdoa supaya Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan. 
      Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. (Hadith Riwayat Ahmad & At-Tabrani) 
      Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan Para Salafussoleh bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Termizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban) 
      Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadhan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan. Kemudian, selama enam bulan sesudah ramadhan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadhan. - Ibnu Rajab menyebutkan keterangan Mu’alla bin Al-Fadhl – ulama tabi’ tabiin dalam Lathaif Al-Ma’arif, hlm. 264 [rujuk ]
       
       
       
    • Merasa bersyukur dan memuji Allah 
    • Puji dan syukur dapat dipertemukan dengan bulan ramadhan . Tidak semua masih berpeluang. Malah lebih bersyukur jika dikurniakan kesihatan yang baik, boleh terus fokus beribadah. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”. 
    • Berazam dan merancang
    • Kita kena mengambil peluang untuk menulis agenda akhirat dan merancang apa yang mahu kita capai dalam bulan Ramadhan nanti. Insya-Allah kesibukan kita dengan ibadah akan menyebabkan kita lupa terhadap godaan dunia. Qowiy!
    • Menambah ilmu tentang ramadhan
    • Masyarakat islam perlu ada pengetahuan tentang apa yang bakal dibuat . Jadi untuk meraikan bulan Ramadhan perlu ada pengetahuan tentangnya. Hukum hakam dan hikmah misalnya . [ Rujuk : Ulangkaji tentang Ramadhan ]
    • Bertaubat dan cuba berubah jadi lebih baik
    • Kita tidak tahu umur kita panjang lagi atau tidak untuk ramadhan yang akan datang. Ditakdirkan bertemu dengan bulan penuh keampunan dan keberkatan ini, adalah baik kita mengambil peluang untuk bertaubat nasuha dan bertekad untuk tidak mengulangi dosa-dosa lalu. Insyaallah kita akan dapat kekuatan dan dipermudahkan .
      Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31) 
    • Bergembira
    • Seronok, rindu dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahawa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang pernah keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad) 
    • Amal dakwah diperhebat
    • Mulakan kempen dengan countdown atau praktis serta bersiap-sedia dengan jadual aktiviti masjid atau kejiranan sempena ramadhan. Jika terlibat dengan usaha amal atau sebarang perniagaan, bersedialah dengan seikhlas dan bersungguh keranaNya. 
    • Mulakan dari sekarang
    • Apalagi selain seronok countdown dan berpuasa ganti serta praktis bangun awal ini, kita latih diri untuk solat sunat ( untuk senang nak terawih nanti) , latih kurang makan banyak supaya elak senak dan mula baca Al-Quran sedikit-sedikit supaya mudah nanti nak bertadarus sesama kawan. Yeah! 
       
      JADUAL [ KLIK UNTUK TUMBESARAN ]
    Insyaallah semoga bertemu di ramadhan-ramadhan berikut. Yang baik kita sama kongsi, yang tak ok kita sama-sama tegur. Semoga ibadah kita semua di terima . Insyaallah .Ameen .
    Sabda nabi saw: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling berguna kepada manusia lain (masyarakat)”.



    Rujukan : 
    Majalah Jom isu 04

    Senin, 16 Juni 2014

    Buku puisi : #pelacurkata & #seratusmulut



    Setakat ini sedikit karya saya dan kawan-kawan ( kawan-kawan saya semua power power menulis woah ! ) ada dalam buku himpunan puisi :  Pelacur Kata keluaran Press Aku dan buku Seratus Mulut dan Halusinasi , terbitan Bukstor. . Terdahulu ada kolaborasi puisi & cerpen dengan beberapa orang sahabat twitter untuk zine #Rabak .

    Untuk yang hilang dan mencari diri, Nah !

    Ke hadapan hati jatuh

    Menemui sekeping hati yang sudah lama sakit,
    kamu ingat aku lagi ?
    Jiwa indah semalam yang pernah bermalam 
    dan duduk sehari dua di teratak dada kamu?

    Kamu pernah kata pada aku dulu,
    biar satu dunia tidak memaknakan kamu ,
    biar satu dunia memuntah kata keras pada dinding laman kamu,
    kamu terbias kan,
    kamu kata kamu ada baju kalis rasa ,
    semua mereka beri, akan dipercik semula pada wajah gelap mereka.

    Tapi kini aku lihat, kamu hilang .
    Kamu diam dalam keramaian orang sedang melihat kamu.
    Kamu sudah mula jatuh , duduk dalam sendu
    yang aku sendiri tidak mampu untuk meramalnya.

    Dan kamu kenapa?
    Kamu sudah tidak kenal aku.
    Mata kamu sudah mula kelabu.
    Ingatan kamu seakan sudah kelam .
    Yang kamu nampak hanya bebayang.

    Sunyi kini tempat kamu.
    Tak semeriah dulu.
    Dulu, tempat ini , penuh rasa suka, banyak suara membangkit rasa,
    kini yang tinggal hati perit yang seakan tidak mahu bangkit.

    Hei, betulkah kau dah tak ingat aku ?
    Ini akulah , aku ! Jiwa indah kamu semalam,
    Yang sama-sama ketawa walau dalam duka lara,

    Hei, kamu !
    Marilah mari , bangun! Peluk aku semula ..


    Terima kasih pada semua yang selesa dengan apa yang pernah dibaca tentang sesuatu yang saya tulis. Moga kalian semua sentiasa diberkati dunia akhirat , insyaallah :)


    *Klik pada link dalam penulisan di atas , untuk sebarang pertanyaan.

    Sabtu, 14 Juni 2014

    (Ulangkaji) Segalanya Tentang Bulan Ramadhan


    Ramadhan bakal tiba. Mari kita imbas seketika (flashback). Di bawah ini saya kongsikan apa yang saya baca melalui Majalah Solusi dan Majalah Fardhu Ain berkaitan ramadhan. Ada pembetulan atau penambahan dipersilakan beri pendapat.

    Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan bulan yang mulia ini, insya-Allah. Ameen.

    Maksud / Definisi Puasa:

    Dari sudut bahasa [luggho]: Menahan diri dari sesuatu

    Dari sudut istilah: Menahan diri daripada makan atau minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar siddiq hingga terbenam matahari.

    Maksud Firman ALLAH s.w.t:
    "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" Surah al-Baqarah: 183

    Niat Puasa: [rujuk niat puasa jawi rumi: sini]


    "Sahaja aku berpuasa ramadhan pada keesokan hari kerana ALLAH taala."

    Syarat sah puasa :


    - Beragama islam
    - Berakal
    - Tidak dalam haid, nifas, wiladah (darah ketika melahirkan anak bagi kaum wanita)
    - Hari yang sah berpuasa
    Saidina Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bilik-bilik gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya. Demikian juga bahagian dalamnya terlihat dari luarnya. Allah SWT menyiapkan gedung-gedung itu buat orang yang suka memberi makan fakir miskin, lembut bicaranya, gemar berpuasa dan bersolat pada malam hari sewaktu yang lain tidur nyenyak." (Hadi riwayat At-Tirmidzi)
    Syarat Wajib puasa :

    - Beragama Islam
    - Baligh (telah mencapai umur dewasa)
    - Berakal
    - Berupaya untuk mengerjakannya
    - Sihat
    - Tidak Musafir

    Hukum puasa terbahagi kepada tiga iaitu:

    Wajib- Puasa pada bulan Ramadan.
    Sunat- Puasa pada hari-hari tertentu seperti hari Isnin dan khamis, hari Asyura, hari Arafah, dan lain-lain.
    Haram- Puasa pada hari-hari yang dilarang berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyrik. (11,12, 13 Zulhijah)
    Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
    "Tidak diharuskan bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah, me­lainkan dengan izin suaminya. Dan janganlah kamu mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumahnya melainkan dengan izinnya (suami)." (Riwayat al-Bukhari, No. 4899)

    Sunat Berpuasa


    Perbuatan-perbuatan yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa:

    - Makan sahur.
    - Menyegerakan berbuka puasa.
    - Melewatkan makan sahur.
    - Meninggalkan perbualan kosong.
    - Memperbanyakkan membaca al-Quran.
    - Memperbanyakkan sedekah.

    Perkara-perkara yang membatalkan puasa: 


    - Makan dan minum dengan sengaja.
    - Muntah dengan sengaja.
    - Bersetubuh.
    - Keluar darah haid atau nifas.
    - Gila.
    - Mengeluarkan mani (istimna') pada siang hari. 
    - Murtad.
    * Komitmen pengabdian

    Perkara-perkara makruh ketika puasa:

    - Berkumur-kumur atau bersugi apa­bila waktu matahari telah tergelincir.
    - Telalu memasukkan air ke hidung ketika dalam puasa.
    - Mengeluarkan kata-kata yang keji.*

    *Jauhilah semampumu

    Uzur yang membolehkan puasa ditinggalkan

    - Sakit yang menghilangkan kekuatan untuk berpuasa.
    - Berjalan jauh, sejauh perjalanan yang membolehkan mengqasar solat.
    - Orang tua yang sangat lemah.
    - Lapar dan dahaga yang bersangatan.
    *Keringanan Syarak buat ummat

    Rukun Puasa


    - Berniat untuk berpuasa
    - Meninggalkan sesuatu yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari

    Hari Disunatkan Berpuasa


    - Isnin dan Khamis
    - Hari putih ( 13,14,15 hari dalam bulan hijrah )
    - Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan haji
    - Enam hari pada bulan syawal
    - Hari asyura (10 Muharram)

    Hari yang diharamkan berpuasa


    - Hari raya aidilfitri (1 Syawal)
    - Hari raya aidiladha (10 Zulhijjah)
    - Hari tasyriq (11,12,13 Zulhijjah)
    - Hari syak (30 Syaaban)

    Ramadhan turut dikenali sebagai (nama lain bagi bulan ramadhan / puasa )
    :

    - Syahrul ibadah- bulan ibadah
    - Syahrul Fath- bulan kemenangan
    - Syahrul Huda- bulan petunjuk
    - Syahrul Ghufran- bulan penuh keampunan
    - Syahrul Salam- bulan keselamatan
    - Syahrul Jihad- bulan perjuangan

    Belajar dalam Bulan Ramadan


    Sebahagian besar pelajar semakin menghampiri peperiksaan utama men­jelang Ramadan tahun ini. Masa yang di­peruntukkan untuk mengulang kaji pelajaran tentunya lebih panjang. Seperti orang bekerja, belajar juga merupakan proses bekerja yang amat penting.

    Jadi, semua pelajar seharusnya mengambil kesempatan menggembleng tenaga untuk menggunakan kedatangan bulan Ramadan ini untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran dengan cemerlang. Jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk memberi alasan mengerjakan ibadah puasa hingga menyebabkan anda tertinggal dalam pelajaran.


    Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu membayar puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib diganti mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan (ini boleh rujuk negeri berkaitan).

    Soal jawab Muslimah

    Dibolehkan Tidak Berpuasa 


    SAYA difahamkan wanita mengandung boleh meninggalkan puasa dalam bulan Ramadan. Cuma saya musykil, ada yang mengatakan perlu dibayar kifarat dan ada yang kata tidak perlu. Minta penjelasan.


    MEMANG benar, wanita atau ibu yang mengandung dibolehkan tidak berpuasa. Tetapi penjelasan mengenainya perlu lebih terperinci kerana jika berlaku salah faham, ramai pula yang tersalah amal. Keringanan ini bukan sahaja diberikan kepada ibu mengandung, tetapi juga kepada ibu yang sedang menyusu anaknya.

    Terdapat dua kes yang perlu difahami oleh wanita yang terlibat. Kedua-duanya berbeza hukumnya. Supaya lebih jelas, perhatikan kes berikut:

    Seorang wanita sedang mengandung anak sulung sering pening dan muntah-muntah. Oleh sebab tidak ada pengalaman sebelumnya, dia bimbang jika terus berpuasa tentu meletihkan. Dalam keadaan itu dia boleh berbuka puasa.

    Suka saya sebut di sini, dalam kitab menyebut boleh berbuka puasa, ini menunjukkan sebelum itu dia sedang berpuasa, maka apabila dia tidak sihat bolehlah berbuka. Berdasarkan itu, mereka yang mengandung dalam kategori begitu perlu berniat puasa seperti biasa, tetapi apabila tahap kesihatan membimbangkan, berbukalah.

    Jadi, tidak bolehlah seseorang yang mengandung itu terus tidak mahu berpuasa sepanjang hari sedangkan pada awalnya dia masih bermaya. Mereka yang berbuka puasa atas sebab di atas wajib mengqada puasa itu sebaik-baiknya pada bulan Syawal nanti atau sebelum Ramadan tahun berikutnya. Dan dia tidak perlu bayar sebarang kifarat.

    Seorang wanita sedang mengandung anak sulung yang usia kandungannya Japan bulan. Dalam keadaan yang sarat itu dia kelihatan kurang bermanya, apatah lagi kandungannya semakin besar. Secara peribadi dia mampu menerus berpuasa sehingga waktu berbuka, tetapi bimbang anak dalam kandungannya tidak mendapat bekalan makanan secukupnya.

    Oleh sebab memikirkan kandungannya itu mungkin terjejas, dia berbuka puasa untuk membolehkan dia makan secukupnya. Di sini, dia berbuka puasa bukan kerana dirinya tetapi kerana anaknya. Oleh sebab itu, dia wajib menggantikan puasa itu selepas masuk Syawal. Dia juga wajib membayar kifarat dengan kadar secupak beras bagi setiap hari dia tidak berpuasa itu kepada fakir miskin. Ertinya kifarat itu perlu dibayar segera pada hari berkenaan juga, bukan pada waktu dia menggantikan puasa ganti.

    Perbezaan kes ini boleh dijadikan panduan sekali gus menjawab soalan yang ditimbulkan di atas. Kes yang sama juga boleh dikiaskan pada ibu yang menyusukan anak.


    Puasa Qada + Puasa Syawal? 


    WANITA tidak boleh mengelak daripada ponteng puasa. Persoalannya, apabila masuk 2 Syawal, bolehkah mereka berpuasa qada dan puasa enam (puasa enam hari di bulan Syawal) secara serentak?


    PERSOALAN seperti ini sering ditanyakan setiap tahun. Untuk menjawab persoalan itu suka saya memberikan dua pendekatan dan kedua-dua itu boleh digunakan sebaik­-baiknya.

    Jika anda mempunyai puasa qada tujuh hari, maka pada 2 Syawal anda boleh berniat puasa qada, "Sahaja aku puasa qada Ramadan esok hari kerana Allah Taala." Dengan niat itu anda beroleh puasa qada dan pahala sunat Syawal juga diperoleh secara automatik.

    Apabila sudah mengqada puasa selama enam hari, secara automatik dia sudah pun melaksanakan puasa enam. Namun kalau dia hendak berpuasa sunat Syawal lagi selepas itu, masih digalakkan.

    Dia juga boleh berniat, "Aku berpuasa qada Ramadan dan sunat Syawal esok hari kerana Allah Taala," dengan niat ini dia dikira berpuasa qada dan mendapat pahala puasa sunat Syawal. Jadi, puasa Syawalnya sudah memadai. Walau bagaimanapun ada yang tersilap niat dengan menyebut puasa sunat dahulu, maka dengan itu niat puasa qada tidak terpakai. Supaya lebih jelas perhatikan contoh berikut:

    "Aku berpuasa sunat Syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah Taala." Dalam kes ini, hanya niat yang pertama dikira sah, manakala yang kedua itu tidak mengikut. Ini kerana puasa sunat lebih kecil daripada puasa qada. Oleh sebab itu umat Islam terutama wanita dianjurkan segera menyelesaikan puasa qada dan sunat enam Syawal dalam bulan Syawal untuk membolehkan mereka mendapatkan anugerah puasa setahun. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengikutinya dengan enam Syawal, mereka seolah-olah berpuasa setahun:

    Ini bermakna kalau seseorang yang puasa Ramadannya tidak lengkap, sama ada 29 atau 30 hari tidaklah layak mendapat puasa setahun walaupun enam Syawal sudah sempurna. Jadi, rebutlah peluang ini pada tahun ini.

    ----------------
    Wanita dan Puasa


    Keizinan Suami

    Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam menjalankan ibadah puasa. Wanita yang suei dari haid dan nifas ketika itu wajib berpuasa, walaupun suaminya tidak mengizinkan. Hal ini kerana tidak boleh mentaati arahan suami mana-mana yang bercanggah dari arahan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Tiada ketaatan terhadap makhluk (suami) dalam perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Pencipta (Allah Taala)." (Riwayat al-Tirmizi) Berlainan keadaannya mengenai puasa sunat. Isteri yang hendak berpuasa sunat wajib meminta izin daripada suaminya kerana izin daripada suami merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat.

    Wanita Hamil

    Wanita yang sedang hamil atau sedang menyusukan bayi, diberi keringanan kepada mereka untuk berbuka jika dia tidak berdaya meneruskan puasa kerana ditakuti akan membawa mudarat kepada diri ataupun janin yang dikandungi atau bayi yang disusui. Walau bagaimanapun, mereka wajib menggantikan kembali puasa yang ditinggalkan itu. Sungguhpun begitu bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana bimbang janin tidak mendapat makanan yang cukup atau bayi tidak mendapat susu yang cukup, dia perlu membayar fidyah pada setiap hari yang ditinggalkan.

    Merasa Makanan

    Wanita biasanya akan memasak pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dalam situasi inilah, wanita sering berasa keliru adakah puasa mereka terbatal jika merasa makanan yang dimasak? Tanpa merasa makanan itu bagaimana hendak memastikan makanan itu cukup perasa atau tidak? Sebenarnya hukum merasa makanan itu adalah makruh kecuali bagi mereka yang benar-benar memerlukannya sebagai contoh pembuat roti yang perlu memastikan segala bahan yang dicampurkan dalam bancuhan roti itu adalah cukup agar rotinya tidak rosak.

    Ciuman dalam Bulan Ramadan

    Bercium pada waktu bulan Ramadan adalah makruh bagi yang mudah naik syahwatnya. Bagi yang tidak terangsang, hukumnya tidak makruh tetapi adalah lebih baik meninggalkan perbuatan mencium, bercumbu mesra dan sebagainya kerana ditakuti akan naik syahwat serta terbatal puasanya. Orang yang bercumbu-cumbu hingga kemudian inzal, wajib baginya untuk meng­gantikan puasa itu kerana sudah dikira terbatal. Tetapi kalau pasangan itu berjimak pada siang hari wanita itu tidak diwajibkan membayar kafarah tetapi wajib qada puasanya sedangkan suaminya wajib kafarat. Walau bagaimanapun mencium tangan suami ketika bertemu dan berpisah tiada masalah, apalagi kalau amalan itu sudah biasa sebelum berpuasa. Sabda Rasulullah daripada Aisyah r.ha., maksudnya: "Rasulullah pernah mencium, padahal Baginda berpuasa."

    Kata-Kata Wanita

    Wanita terkenal dengan aktiviti berkumpul dan berbual-bual. Kadangkala perbuatan seperti itu dibimbangkan mengarah kepada perbuatan mengumpat, berkata kotor dan berdusta. Ketika bulan yang mulia inilah, wanita digalakkan untuk sentiasa berzikir.

    Tetap Berpuasa Meskipun dalam Keadaan Junub

    Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. bangun dalam keadaan sudah terbit fajar sedangkan dia berjunub dengan isterinya, Baginda terus mandi dan berpuasa." (Muttafaq 'Alaih) Selain itu hadis ini menunjukkan bahawa melakukan hubungan suami isteri pada malamnya adalah harus. Allah Taala membolehkan bag; orang yang hendak berpuasa supaya berniat pada malam hari sebelum berjimak dengan isterinya dan tidur. Jadi, kalau dia bangun dalam keadaan berjunub tidak membatalkan niat puasanya. Sebahagian umat Islam masa kini tidak tahu akan hukum ini lalu menganggap puasa mereka terbatal. Hal ini tidak benar kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan kepada umatnya yang terkebelakang. 

    Qada Puasa

    Apabila seseorang wanita itu didatangi haid dan nifas, mereka mestilah mengganti semula puasa yang telah ditinggalkan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.

    • Puasa pada hari-hari lain yang dibolehkan untuk menggantikan puasa yang tertinggal.

    • Tidak diwajibkan melakukannya secara segera tetapi apabila ada kelapangan waktu hendaklah dilakukan sebelum masuk Ramadan berikutnya.

    Kelebihan Aktiviti dalam Bulan Ramadan


    Dalam bulan Ramadan anda akan mendapat banyak kelebihan yang susah anda dapati dalam bulan-bulan lain antaranya:

    - Solat Subuh berjemaah di surau atau masjid.

    - Peluang membaca al-Quran waktu tengah hari atau malam sebelum tidur.

    - Berhimpun sambil bertemu dengan keluarga ketika bersahur dan berbuka.

    - Solat Tarawih dan Witir berjemaah dengan anak-anak dan keluarga.

    - Keceriaan membeli kuih-muih sebelum berbuka.

    - Menguji ketabahan ketika bangun awal pagi untuk makan sahur.

    - Bertadarus al-Quran dengan matla­mat mengkhatamkan al-Quran paling kurang sekali khatam dalam setahun.

    - Menanti-nanti kemunculan malam Lailatulqadar di mana jika beribadah pada malam tersebut akan mendapat ganjaran pahala seperti beribadah selama seribu bulan.

    - Menyertai iktikaf dan qiamullail di masjid terutama pada 10 malam terakhir.

    - Menanti datangnya malam raya yang merupakan malam kemenangan yang diisytiharkan melalui takbir hari raya bermula daripada terbenamnya matahari Ramadan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri. 

    Masya-Allah, seronoknya ramadhan! :)

    _________________

    Selamat berpuasa, semua. 
    Moga kita dipertemukan dengan bulan ini dan ibadah kita diterima, insya-Allah.

    Sekian, terima kasih kerana sudi membaca . Salam.

    SOLUSI ISU #10 • #22  I Fardu Ain #3


    Kamis, 15 Mei 2014

    Selamat Hari Guru, Cikgu ! Terima Kasih . Nah , Sajak .


    Hari Cikgu, Pendidik, Guru, Teachers , Ustaz, Ustazah, Murabbi , Sheikh, Sifoo dan semua yang sudi berkongsikan ilmu dengan kita sepakat dirai di Malaysia pada setiap 16 Mei. Kerja Cikgu memang sukar, namun yang penting kita ikhlas untuk membantu membentuk ummah terbaik. Tak semua insan diberi kesempatan dan dipilih menjadi guru, ia amanah yang sangat besar.

    Dan Anem nak mengucapkan TERIMA KASIH untuk kedua ibubapa, semua guru-guru dari tadika Sungai Buloh, Tadika Jeram Batu 20, Guru Sekolah Kebangsaan Jeram Batu 20, Sekolah Rendah Agama Jeram Batu 20, Ustaz Ustazah di Sekolah Agama Menengah Jeram [SAMJ 1999-2003], Pensyarah di Kolej Matrikulasi Melaka [2004-2005] & Universiti Sains Malaysia [2005- 2008]. Tak lupa buat cikgu memandu. Serta semua kenalan dan sifoo praktikal serta di alam perkerjaan dan kehidupan . Haik ! *Tabik hormat dan cium tangan*

    Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)



    Tema Hari Guru 2016 :
    Guru Pembina Negara Bangsa


    Lirik Lagu Kami Guru Malaysia (Lagu Hari Guru)


    Kami guru Malaysia
    Berikrar dan berjanji
    Mendidik dan memimpin
    Putra putri negara kita

    Pada Seri Paduka
    Kami tumpahkan setia
    Rukun Negara kita
    Panduan hidup kami semua

    Di bidang pembangunan
    Kami tetap bersama
    Membantu, membina
    Negara yang tercinta

    Amanah yang diberi
    Kami tak persiakan
    Apa yang kami janji
    Tunai tetap kami tunaikan

    DOWNLOAD LAGU ;
     KAMI GURU MALAYSIA 

    SAJAK HARI GURU / PUISI HARI GURU :

    Guru oh Guru

    Berburu ke padang datar,
    Dapat rusa belang kaki;
    Berguru kepalang ajar,
    Ibarat bunga kembang tak jadi.

    Dialah pemberi paling setia
    Tiap akar ilmu miliknya
    Pelita dan lampu segala
    Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

    Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
    Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
    Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
    Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

    Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
    Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
    Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
    Jika hari ini seorang ulama yang mulia
    Jika hari ini seorang peguam menang bicara
    Jika hari ini seorang penulis terkemuka
    Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
    Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
    Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

    Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
    Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
    Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
    Dia adalah guru mewakill seribu buku;
    Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara.

    Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
    Budi yang diapungkan di dulang ilmu
    Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
    Menjadi kenangan ke akhir hayat.

    USMAN AWANG
    1979

    Dia Seorang Guru Tua

    Dia seorang guru tua sebuah sekolah
    terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
    penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganjaran upah
    tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
    sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah
    yang mengangkat harga diri dan maruah
    dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
    dengan kelkhlasan had dan pasrah
    dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
    yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
    berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah.
    Dia seorang guru pengganti ayah ibu
    dia seorang guru pembentuk generasi baru
    dia seorang guru pembina insan sepadu
    dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
    yang terus hidup sepanjang waktu
    diimbau berbunyi dilihat bertemu.

    Ismail Haji Adnan
    1989

    OBOR HEMAH

    Guru adalah awan indah terbang rendah,
    melimpahkan hujan pada musim gersang,
    menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
    ia renjis embun pada tanah bakat,
    suara ihsan ketika manusia kalah,
    sepi yang syahdu dalam dunia resah.

    Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
    ketika sejarah dalam bilik darjah,
    senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
    ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
    menghantar bahtera ke segara dharma,
    memesan angin menghikmahkannya.

    Guru adalah penelaah yang tekun,
    mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
    menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
    ia mengemudi biduk, melepaskannya,
    atas lambungan laut, merangsangkan
    manusia menyelami rahsia khazanahnya.

    Guru - minda segar dan kukuh akar,
    menghidupkan batin yang bersih
    di daerah dunia cemar kasih,
    dan pada ketika tak tersangkakan,
    walau diambilnya kemball semua buku,
    sempat ditinggalkan asas i1mu.

    Guru adalah batin suci hatinurani,
    penjunjung budi, manusia yang takwa,
    obor hemah kehidupan bangsa.

    A. SAMAD SAID
    2 APRIL 1988 

    _________________


    TEMA-TEMA HARI GURU


    ( 1974 - 2013 )
    1974 - Peranan Guru Dalam Zaman Sains Dan Teknologi
    1975 - Guru Dengan Pembangunan Negara
    1976 - Pendidik Moral Dalam Zaman Kemajuan
    1977 - Dedikasi Dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
    1978 - Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
    1979 - Murid Sejahtera Negara Jaya
    1980 - Pendidikan Teras Perpaduan Negara
    1981 - Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
    1982 - Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
    1983 - Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
    1984 - Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
    1985 - Guru Dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
    1986 - Pendidikan Teras Nasionalisme
    1987 - Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
    1988 - Guru Pengasas Budaya Ilmu
    1989 - Guru Pembina Budaya Ilmu
    1990 - Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
    1991 - Ke Arah Pendidikan Cemerlang
    1992 - Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
    1993 - Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
    1994 - Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
    1995 - Pemuafakatan Dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
    1996 - Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
    1997 - Guru Bestari Sekolah Bestari
    1998 - Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
    1999 - Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
    2000 - Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
    2001 - Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
    2002 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
    2003 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
    2004 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
    2005 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
    2006 - Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
    2007 - Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
    2008 - Guru Cemerlang, Negara Terbilang
    2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
    2010 - Guru Pembina Negara Bangsa
    2011 - Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
    2012 - Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
    2013 -GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA
    2014 -   Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
    2015 - Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
    2016 - Guru Pembina Negara Bangsa

    P/S : Indah juga melayan lagu terima kasih  cikgu daripada Najwa Latif & Upin dan Ipin ni .