Tampilkan postingan dengan label certot. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label certot. Tampilkan semua postingan

Rabu, 13 Juli 2016

Kenangan Raya Zaman Kanak-kanak


Membaca kisah mengenai hari raya; hal kerja rumah, penginapan, pembahagian duit raya, jalan sesak dan pertembungan soalan-jawapan popular di hari raya kebelakangan ini, benar-benar membuatkan saya rindu dan teringat satu kenangan raya sewaktu kecil-kecil dahulu. Dengan seadanya, kami dulu begitu aktif mengunjungi rumah-rumah di kampung. Tanpa segan dan takut dengan pelbagai perkara. Bukan hendak apa sangat, namun seronok berjalan bersama kawan-kawan.

Keadaan sekarang mungkin ada yang berubah, namun nikmat dan rasa seronok hari raya itu tetap indah. Berikut adalah salah satu kenangan waktu kecil (pengalaman sebenar) yang menetap dalam ingatan. Namun digarap (sedikit diubah untuk disesuaikan) menjadi sebuah nukilan pendek.

***

"Rumah ni kau rasa boleh tak?" Nana bertanya kepada Leman, Ali dan Ipin. Ani yang dibonceng di belakang basikalnya diam sahaja. Kelihatan kanak-kanak lelaki bertiga itu berbincang dalam bahasa dan isyarat sendiri sebelum setuju untuk masuk bersama.

"Assalamualaikum.. kami datang nak raya." Ali memberi salam dengan kuat sekali. Kemudian sekali lagi mereka beramai-ramai memberi salam. mereka tidak mengetuk pintu kerana tidak mahu mengganggu. Cukuplah salam sebagai isyarat.

"Waalaikummussalam." Seorang nenek membuka pintu. Wajarlah agak terlewat. Kerana dia kelihatan perlahan-perlahan pergerakannya.

“Ramainya! Masuklah cu. Duduk minum.” Nenek itu menjemput dengan mata yang bercahaya. Senyumnya panjang.

“Dari mana semua ni?” Nenek itu kembali dengan beberapa coklat dan keropok di tangan dari arah dapur. Dan kelihatan seorang lelaki tua tersenyum sama memandang mereka semua.

“Dekat-dekat sini ja, nek!”
“Kampung sebelah!”
“Lorong sana!” Seorang demi seorang menjawab, tak nak kalah. Nenek dan atok ketawa kecil; seronok melihat gelagat-gelagat anak kecil sebaya cucu mereka ini tergopoh-gopoh makan. Selepas satu, satu balang dibuka. Kemudian asyik menambah air. Tak cukup air merah, mereka minum air berwarna oren pula. Gaya macam lapar sungguh, sedangkan itu bukan rumah pertama mereka berkunjung pada hari tersebut.

“Cucu atok dan nenek lebih kurang umur cucu semua ni,” Atok bersuara setelah sekian lama hanya memandang sahaja.

“Mereka mana?” Nana bertanya; jujur.

“Belum balik sini lagi.” Atok menjawab perlahan. Kelihatan nenek memandang jauh ke arah suaminya.

“Nanti baliklah tu!” Ali spontan menjawab. Kelihatan atok dan nenek kembali senyum. Habis saja sesi soal-jawab dan berbual dengan atok dan nenek yang suka bercerita itu, mereka berlima pun memohon untuk pulang.

“Kami balik dulu ya, nek!” Leman memohon izin untuk pulang. Masing-masing bersalam sambil mencium tangan mereka berdua; sayu.

“Maafkan Nek ya cu, nenek tak ada duit raya nak bagi.” Jawapan nenek membuatkan mereka berlima mendongak memandang wajah tua itu.

“Kami datang nak raya ja nek! Kuih nenek sedap.”
“Kerepek pun!” Ayat Nana tadi disambung cepat oleh Ali.
“Terima kasih Nek, Atok.” Ipin berkata mewakili kawan-kawannya.

"Sama-sama. Bila-bila datang lagi ya, Cu." Nenek mengajak.
"Insya-Allah nek, atok." Nana mewakili kawan-kawannya.

Setelah bersalaman dan memeluk tuan rumah yang begitu istimewa itu, mereka kembali mengayuh basikal.

“Kau rasa anak dan cucu atok dan nenek bila balik?” Tanya Nana sambil mengira bilangan hari raya yang sudah beberapa hari berlalu.

“Nanti baliklah tu. Kita doalah sama-sama.” Leman menjawab selamba sambil mereka semua kembali sambung untuk beraya. Mencari rumah-rumah yang sudi menerima dengan hati terbuka. Namun tidak boleh berlama, kerana hari sudah menjelang senja.

***

Kenangan sungguh. Untuk rindu yang tidak berjawab, kita doakanlah.







Selasa, 21 Juni 2016

Menuju Terawih Ala Perang


Ini adalah kisah benar yang diadaptasi menjadi sebuah cerita pendek. Selamat membaca! :)

"Cepat jom! Kita dah lewat bebeno dah ni." Mira segera memanggil Ain yang masih tercari-cari selipar. Ain kelam-kabut seperti biasa. Jelas jam menunjukkan waktu hampir sekali dengan isyak.

“Weh! Tunggu aku!” Ain menjerit apabila melihat Mira berjalan laju ibarat orang Jepun. Kedengaran Mira tertawa kecil membelakangi sahabatnya itu.

Hari ini mereka hanya melalui jalan singkat ke surau. Jalan tengah padang di antara dua bangunan. Padang itu dipenuhi rumput yang sudah sampai aras lutut. Mungkin hampir raya nanti baru akan dipotong dan dibersihkan. Tidak kiralah bagaimana, langkah mereka harus diteruskan segera untuk tidak ketinggalan berjemaah.

Boom!
Tiba-tiba kedengaran bunyi mengejutkan; sangat kuat entah dari mana. Ain sedikit melatah sambil memandang wajah Mira. Mereka saling kehairanan.

Boom! Boom!
Bunyi itu kedengaran bertalu-talu, yang nampak cuma asap. Ain dan Mira berlari-lari kecil menyelamatkan diri.

“Kau rasa tu bunyi apa? Entah-entah..” Mira bertanya.
“Kau jangan macam-macam. Aku rasa mercun tu, budak-budak main ni.” Ain menjawab sambil mengangkat sedikit telekong mengelak kotor.

Boom!
Berbunyi lagi kali ini seakan lebih dekat. Tergocoh-gocoh mereka berlari berdua merentasi padang yang agak panjang itu. Asap dan mercun yang tidak diketahui punca itu mendebarkan mereka. Akhirnya mereka tiba juga di surau.

“Budak mana kenakan kita ni?” Pertanyaan Ain itu didiamkan Mira.
“Kalau macam inilah rasa takut terkena mercun tu, apa lagi perjuangan anak-anak Palestin menuju masjid agaknya,” Ain menambah. Mira menggeleng-gelengkan kepala. Berdebar lagi agaknya. Penat pun masih berbaki. Sampai sudah mereka tidak tahu siapa punya angkara meletupkan mercun di balik semak tersebut. Namun apa yang mereka tahu, pengalaman dan ibrah kecil ini benar-benar sesuatu. Menetap kemas di sudut hati. Aturan Tuhan tiap satu itukan bersebabkan.