Sabtu, 08 Oktober 2016

Cara Hantar Cerpen ke Majalah Tunas Cipta


Sebagai seorang yang suka menulis, kadangkala kita rasa mahu juga (pastinya seronok) karya kita disiar dan dibaca oleh orang lain, serta dikritik untuk penambahbaikan. Malahan membaca kebanyakan yang berpengalaman katanya; elok sebagai permulaan menulis cerpen atau puisi dan hantar ke Majalah Tunas Cipta kerana kerana majalah ini khusus menerima karya penulis generasi baru.

Sebelum itu, jika mahu hantar cerpen atau sebarang karya ke Berita Harian boleh rujuk: https://birungu.wordpress.com.

Syarat menulis dengan Tunas Cipta:

CERPEN

1. Umur: kurang daripada 35 tahun

2. Kisah selain daripada cinta melankolia (boleh cerita cinta, tapi biar membawa kepada pemikiran atau idea yang ilmiah dan bijak).

3. Halaman: Tidak melebihi 10 muka surat (Times New Roman, saiz 12, langkau 1.5 / 2).

PUISI

- Jenis tulisan; Times New Roman, saiz 12, langkau 1.5 / 2
- Tema bebas tapi biar berpada-pada

Setiap kali menghantar karya, sila sertakan juga biodata ringkas seperti nama penuh, nama pena, alamat lengkap, nombor kad pengenalan, nombor telefon, e-mail dan nombor akaun bank bagi urusan pembayaran mengikut media percetakan (apabila karya anda tersiar, sedikit honorarium atau saguhati yang berupa wang ringgit akan diberikan sama ada dalam bentuk cek atau bank-in ke akaun bank anda, selalunya akan ambil masa 3 bulan dari tarikh siar dan akan diberi surat pengesahan selepas itu).

Hantar ke emel: hanum@dbp.gov.my (editor terkini: Puan Zaharahanum bt Kamarudin). Subjek pada emel tuliskan cerpen atau puisi berserta tajuk. Kemudian tuliskan kata-kata aluan dan pengenalan diri yang baik dalam emel tersebut. Jika ada surat iringan itu lebih baik.

*Karya kita akan dinilai terlebih dahulu. Sabarlah menanti jawapan. Namun jika sehingga tiga bulan masih tiada jawapan, maksudnya belum lagi berjaya. Namun selalunya walaupun gagal tetap akan dijawab balas.


NOTA

Ikut daripada komen dia bagi pada cerpen saya yang tersiar (Puisi Dari Korea - Tunas Cipta edisi Mei 2016), pihak editor tidak mahu dialog atau pengajaran unsur yang negatif. Dan jika dialog tidak ada relevan dalam cerita atau plot lain / pengakhiran, tak perlu letak. Letak dialog atau plot yang memang bertujuan. Dan jika mahir memperkayakan bahasa, itu lebih baik.

Dan alhamdulillah, selepas beberapa kali disuruh sunting sebelum tersiar, kritikan untuk cerpen itu oleh S.M Zakir (Tunas Cipta edisi Jun 2016) adalah baik; terutama dari segi sudut bahasa dan jalan ceritanya.

Untuk puisi anda boleh lihat contoh-contoh puisi yang pernah disiar (di sini antaranya). Jika belum pernah membeli tunas cipta, boleh dapatkan di kedai buku / majalah berhampiran atau terus beli menerusi talian di bukuDBP.com.

Oh ya, selain ini, jika mahu tahu perkembangan pertandingan menulis / cerpen yang lain boleh rujuk di halaman facebook Tips Motivasi dan Penulisan Pena VR yang dikendalikan juga oleh seorang penulis berpengalaman; Salleh Kausari. Di sini banyak juga beliau berkongsi.

***

Untuk semua, jangan takut menangis untuk menulis. Setiap langkah yang jauh bermula dengan langkah pertama. Jangan takut ditolak, sebab ditakuti kita menyesal pula kerana tidak mencuba. Teruskan menulis, kerana bakat itu tak semua ada. Bakat juga amanah. Selamat maju jaya! Terima kasih. :)


Rujukan lain:


Tidak ada komentar:

Posting Komentar