Sabtu, 30 Januari 2016

Istiqamah Dalam Hijrah



Semua kita boleh berubah dan berhijrah. Tapi nak kekal dengan perubahan tersebut (istiqamah atau konsisten) itu yang sukar. Namun dengan usaha dan doa-doa, insya-Allah kita boleh melaluinya. Tiada apa yang mustahil dengan kehendak Allah. Cuma perlu masa sedikit. Di sini saya kongsikan analogi saya sendiri berkaitan istiqamah.

------ Situasinya begini;

Suatu hari kita mahu berpindah ke tempat yang kita rasa lebih baik, kita pun bertukar dari bas lama ke bas baru.

Masuk-masuk saja, orang dalam bas pandang kita semacam; sebab tak pernah nampak. Ada yang tahu kita dari kawasan mana, dia berbisik-bisik sambil melihat-lihat kita. Ada juga yang baik sudi menghulurkan senyum tapi kita pula yang berasa malu hendak menegur. Dan sebahagian yang lain buat hal sendiri sahaja.

Tak kisahlah apa pun. Kita pun duduk; kembali buat kerja kita, sementara tiba di destinasi. Adalah beberapa dugaan, bas kena tukar tayar. Jalan tak rata. Terpaksa brek mengejut. Hujan lebat; perlu perlahankan kenderaan. Kita bertahan saja dengan doa-doa, sebab kita dalam bas dengan sebahagian manusia yang kita percaya.

Tapi sebahagian manusia lain dalam bas itu masih tidak reti diam, tidak jemu untuk terus kacau emosi kita melalui pandangan dan kata-kata.

Sampai satu keadaan, kita jadi terlalu emosi. Jika kita tidak mampu terus bertahan dalam bas tersebut, terpaksalah suruh bas itu berhenti dan turunkan kita di mana-mana; kemudian kenalah jalan kaki ke destinasi. Mungkin perlu ihsan orang yang entah siapa-siapa untuk menumpang atau silap cara, terpaksa patah balik ke belakang sebab tak larat nak terus berjalan. Mungkin ada bas yang tidak tiba pada hari itu, tapi perlu dimulakan semula. Demikianlah sebuah perjalanan.

Tapi kalau kita cuba bertahan sikit lagi; usahakan cara terbaik untuk diri kita, insyaAllah pasti tiba juga ke depan. 

Itulah ibaratnya istiqamah ni. Jarak destinasi kita dekat; cuma dugaan tu buat kita rasa jauh dan berat. InsyaAllah akhirnya 'bas' kita itu akan sampai juga. Apa-apa usaha dan sabar dulu ya? Terus!



Nabi s.a.w. bersabda:
"Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 SEMOGA BERJAYA, INSYA-ALLAH! :)



 Sumber gambar : pinterest & animatedimages


Tidak ada komentar:

Posting Komentar